LHDN Kenalpasti Hampir 80,000 Pemilik Kekayaan Luar Biasa..

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti 79,786 pembayar cukai yang terdiri daripada individu, syarikat, pertubuhan dan koperasi yang memiliki kekayaan luar biasa tetapi gagal meng isytihar cukai pendapatan atau membuat pengisytiharan tidak tepat.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, LHDN mendapatkan maklumat kewangan daripada pegawai-pegawai percukaian di luar negara selain melakukan pemantauan pada media sosial, majalah dan akhbar.

 

 

Mereka yang menerima notis di bawah Seksyen 79 ACP 1967 dikehendaki untuk memberikan maklum balas kepada LHDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diserahkan.

 

Kegagalan memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

 

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, kerajaan mengumumkan Program Khas Pengakuan Sukarela untuk menggalakkan pembayar cukai yang masih belum membuat pengisytiharan cukai pendapatan atau membuat pengisytiharan tidak tepat menunaikan tanggungjawab mereka dengan menawarkan kadar penalti yang lebih rendah.

 

Program yang bermula 3 November lalu dan akan berakhir pada 30 Jun 2019 terbuka kepada semua kategori pembayar cukai dan menawarkan kadar penalti yang lebih rendah iaitu 10 peratus sehingga 15 peratus daripada amaun cukai yang perlu dibayar.

 

Sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu antara 80 peratus hingga 300 peratus.

Proses pengakuan sukarela juga dipermudahkan dengan hanya membuat pengisian borang cukai e-filing atau borang kertas.

 

Manakala bagi pembayar cukai yang telah membuat pengisytiharan cukai pendapatan tidak tepat hanya perlu menghantar surat atau emel kepada LHDN bagi memaklumkan hasrat untuk membuat pengakuan sukarela dan melaporkan pendapatan sebenar dalam surat tersebut. – MalaysiaGazette

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: